Monday, August 13, 2018

Belajar kewalian dari anak kecil

"Assalamualaikum cikgu" sapa anak- anak muridku secara serentak. 

"Waalaikumussalam" jawabku seraya memandang wajah polos mereka satu persatu. Tiba di suatu wajah, bebola mataku terhenti. Ada rasa sebal yang bersarang di dalam jiwa.


Anak itu kelihatan tidak mempedulikan keberadaanku. Dia leka mencuit-cuit bahu temannya ketika orang lain  bersungguh-sungguh melafazkan doa penerang hati. Aku hanya menggeleng-gelengkan kepala. Dalam hatiku berbisik 'dia ni memang susah betul nak dibentuk, degil, keras kepala. Aku berdehem sambil menjengilkan mata ke arah Azim yang masih lagi leka dalam dunianya. Menyedari diri diperhatikan, Azim membetulkan cara berdiri dan segera menadah tangan seperti rakan- rakan yang lain.

 "Ok semua buka buku latihan kamu, dan sambung latihan semalam." 

Aku memulakan bicara setelah semua kelihatan bersedia di tempat duduk masing - masing. Seperti selalu Azim masih lagi berlengah - lengah dan memandangku dengan pandangan kosong seolah- olah aku tidak berbicara apa-apa sebentar tadi. Aku ketap bibir cuba menahan sabar dengan tingkahnya.

"Azim, awak faham tak apa yang saya cakap tadi.." tanganku terasa ringan ingin mencubit lengannya yang gebu. Manakala Azim sudah mula bermain-main di dalam kelas. Dia hanya tersengih-sengih seperti kerang busuk lagaknya. Tak lama kemudian dia mengambil pemadam Azrul dan membalingnya ke belakang kelas. Aku sudah hilang sabar apabila Azrul mula menangis.


           Aku arahkan Azim mengambil semula pemadam yang dibaling tadi, namun tiada respon darinya. Langsung dia tidak berganjak dari tempat duduknya seolah-olah tidak mendengar arahanku sebentar tadi.

"Biadap ya kamu" , kamu keluar dari kelas sekarang..."

Aku menggigil menahan sabar. Pembaris panjang kucapai dan kuhempas sekuat hati. Bukan apa, bagiku anak seperti ini perlu digertak supaya ada rasa hormat terhadap gurunya yang di hadapan ini. Memang itu sahaja yang semampunya dibuat oleh seorang guru pada zaman kini. Zaman ibubapa bebas menyerang guru dengan surat saman jika tersilap langkah. Apalah dayaku sebagai seorang guru. Hanya mampu marah selebihnya menahan sabar. Itu pun silap-silap ada murid yang mengadu guru mengganggu emosi murid dengan marah-marah di dalam kelas.

             Aku merapati Azim yang sedari tadi membatu. Tanganku terasa ringan ingin menampar pipi gebunya. Namun mujur akalku masih waras dan berfungsi dengan baik. Kutenung wajahnya. Dia masih membisu dan memuncungkan bibir tanda protes. Kali ini tanganku menarik telinganya dengan rasa marah di dalam jiwa.

"Awak keluar sekarang...!" Jerkahku sekuat hati.

 Azim memandangku takut-takut. Perlahan-lahan dia bergerak ke arah pintu.

Aku beristighfar beberapa kali. Allah..Allah..Kalau lah aku ikutkan rasa marah tadi rasanya mahu sahaja aku menempeleng wajahnya sekuat hati. Namun bimbang juga apa yang akan terjadi pada diri dan kerjayaku apabila melakukan perkara yang ditegah tersebut. Terbayang pula wajah anak-anakku apabila sesuatu terjadi kepada, bagaimanalah nasib mereka nanti.

Perkara tersebut aku ceritakan kepada seorang rakan guruku, Kak Ely. Bukan sekali dua ini Azim memperlakukanku seperti itu bahkan berkali-kali. Seakan sudah hilang rasa hormatnya terhadap diriku selaku guru yang mengajar. Kak Ely berjanji akan membantuku dan akan cuba 'menyekolahkan ' Azim.

Keesokannya kak Ely berjumpa Azim secara peribadi. Entah apa yang dinasihatkan Kak Ely aku kurang pasti, namun sebelum balik hari itu, Azim ada bertemu denganku dengan wajah sugul dan memohon kemaafan daripadaku dengan bersungguh-sungguh. Aku lantas memaafkannya dan menyuruh dia berjanji untuk merubah sikapnya.

Sewaktu minum di kantin aku lantas berbual dengan Kak Ely perihal Azim. Kak Ely memberitahuku bahawa Azim seorang murid yang hanya mendambakan perhatianku. Di rumah mungkin dia kurang mendapat kasih sayang dan perhatian daripada bapanya yang sering pulang lewat ke rumah. Manakala ibunya sering sibuk menguruskan adik-adiknya yang masih kecil dan memerlukan lebih pengkhususan perhatian.

"Mungkin dengan cara itu dia cuba memancing perhatian dari kau, cubalah kau berbaik dengannya dan mengambil hatinya selepas ini " cadang Kak Ely.

Aku termenung seketika mendengar kata-kata sahabatku itu. Benar jua. Selama ini aku hanya marah-marah dengan kenakalannya tanpa menyelidiki latar belakang Azim. Apa yang membuatkan sikapnya begitu terhadapku.

Astaghfirullah selama ini aku telah meletakkan persepsi yang buruk terhadapnya serta melabelkannya sebagai budak yang tak makan saman. Tetapi aku tidak pernah cuba untuk mendekatinya dengan sentuhan kasih sayang seorang ibu dan juga guru. Tetapi anak itu kulihat tidak pernah berdendam. Dia masih suka datang bertemuku di kelas walaupun hampir setiap hari dimarahi. Sedangkan aku yang sudah dewasa dan bertimbun dengan dosa ini pernah menyimpan dendam dan amarah terhadap anak kecil itu serta melabelkannya sebagai 'budak yang sukar dibentuk'. Tanpa kusedar aku sudah mendoakan yang tidak baik kepadanya.

Ya Allah ampunkanlah dosa-dosaku Ya Allah...Hatiku ini yang sebenarnya keras. Mereka anak-anak yang tidak berdosa dan tidak berdendam. Aku yang dewasa dan telah dianugerahi akal yang sempurna ini yang sepatutnya pergi kepada mereka dengan pendekatan yang lembut dan berhemah. Aku tak perlu berputus asa untuk membentuknya. Ya Allah sepatutnya aku banyakkan munajat kepadaMu memohon pertolongan dari Mu dalam mendidik hamba-hambaMu yang Kau takdirkan sebagai anak-anak muridku.

Hmmm..ada sesuatu yang dapat kubelajar mulai hari ini..belajarlah kewalian daripada anak-anak kecil yang tidak berdosa. Mereka tidak pernah berdendam kepada kita dewasa yang sering memarahi mereka. Moga-moga Engkau campakkan dalam sanubariku ini sifat sabar dalam mendidik mereka. Aamiin.

Sekian....

Saturday, August 11, 2018

Manisnya senyumanmu..

Manisnya senyumanmu..

Wajah Ali (bukan nama sebenar) ceria pada hari itu..apa yang aku perasan senyuman tak lekang dari bibirnya..anak muridku yang seorang ni memang agak manis orangnya, lebih2 lagi kalau tersenyum bertambah kacak dipandang.

Apa yang membuatkan aku berasa agak pelik pagi itu, Ali hari ini agak luar biasa daripada sebelumnya. Biasanya Ali tidak peduli pada orang lain. Dia yang biasa kukenali selalunya akan sibuk melakar segala apa yang berada di imaginasinya di atas sekeping kertas di kala orang lain sibuk menumpukan perhatian pada pelajaran. Lakarannya bukan pula calang2, boleh tahan juga bakat budak ni.

Tetapi hari ini Ali buat pertama kali tanpa disuruh mahupun digertak memegang pensil dan melengkapkan lembaran kerja yang diberi. Bahkan apa yang lebih membuatku bertambah kagum hari ini dia siap membetulkan jawapan rakan di sebelahnya yang silap. Dia malah menuliskan jawapan yang tepat.

Alangkah bagusnya jika sikapnya diteruskan begini pada hari2 yang mendatang. Apalah agaknya keajaiban yang merubah sikapnya pada hari ini. Mungkin dia gembira dengan kelas yang dilihat ceria lantas turut terkesan pada emosi Ali. Atau mungkin juga ada perkara menggembirakan telah dialami sejak dari rumah membuatkan mood Ali ceria pada hari ini.

Macam2 pula yang bermain di fikiranku. Apapun aku gembira untuk hari ini. Ali dan semua rakan2nya sebenarnya ada potensi untuk berjaya, tapi kadang2 kita sebagai guru mahupun ibubapa mudah sangat membuat kesimpulan anak kita begitu dan begini sehingga kadang2 kita sendiri menafikan hak mereka untuk berjaya. Doaku semoga Ali teruskan sikap yang positif dan berjaya melalui cara dan dunianya yang tersendiri.